Pelakon dan juga anggota rancangan Korea popular 2 Days 1 Night, Kim Joo Hyuk maut akibat kemalangan jalan raya petang tadi.

Menurut laporan media Korea, kejadian itu berlaku di Samseong-dong, Seoul kira-kira jam 4.30 petang tadi apabila kereta Mercedes-Benz jenis SUV yang dipandu oleh Kim Joo Hyuk terbalik dan berpusing sebelum melanggar dinding sebuah apartmen di kawasan kejiranan tersebut.

Polis juga turut mengesahkan kereta tersebut terbakar disebabkan impak kemalangan itu.

“Pemandu telah diselamatkan dan dibawa ke Hospital Konkuk dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Pelbagai usaha menyelamat telah dilakukan ketika dalam perjalanan ke hospital namun pemandu telah menghembuskan nafas terakhir dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6.30 petang,” jelasnya.



Sementara itu, menerusi laporan Koreaboo, agensinya Namoo Actors masih belum memberikan sebarang kenyataan mengenai berita kematian pelakon itu.

“Kami sedang meneliti laporan mengenai kejadian kemalangan dan akan memberikan kenyataan selepas mengetahui info selanjutnya,” jelas wakil agensi berkenaan.

Bagaimanapun, polis dan juga pihak hospital telah mengesahkan berita kematian Joo Hyuk.

Terdahulu, hubungan cinta Joo Hyuk bersama aktres Lee Yoo Young didedahkan kepada umum pada Disember 2016.

Joo Hyuk juga telah menyatakan hasrat untuk mengahwini teman wanitanya pada hujung tahun ini menerusi satu temu bual pada Februari lalu.

Foto: Koreaboo

Sumber: Soompi/Koreaboo