Vokalis kumpulan Noah, Ariel, mengakui bahawa dirinya masih solo dan tidak mempunyai perancangan untuk berkahwin buat kali kedua dalam masa terdekat ini.

Menurut Ariel, dia tidak mahu terburu-buru mengambil keputusan untuk berkahwin memandangkan telah mempunyai anak, Alleia Anata yang kini berusia 12 tahun.

"Buat masa sekarang apa yang boleh saya katakan adalah saya masih solo dan belum berkahwin untuk kali kedua.

"Khabar angin yang keluar sebelum ini adalah tidak benar dan saya tidak mahu berfikir mengenai hal tersebut kerana fokus utama saya adalah kerjaya.

"Saya juga tidak terfikir untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat ini kerana saya sudah mempunyai seorang anak.

"Buat masa sekarang biarlah saya bercerita mengenai kerjaya sahaja dahulu dan saya tidak mahu mencampurkan kisah peribadi dalam karier," katanya kepada Astro Gempak.

Ariel berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Noah Live In Kuala Lumpur, di Hotel Double Tree, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Konsert Noah Live In Kuala Lumpur akan diadakan pada 25 November depan, di Stadium Negara.

Para peminat Noah yang ingin dapatkan tiket boleh melayari laman web airasiaredtix.com, bermula dengan harga RM95 sehingga RM235.