Jika anda perasan ketika Raja Azura atau lebih popular disapa Kak Engku sedang menyanyikan lagu Hati Terkunci ketika pentas sulung Gegar Vaganza 4 (GV4) malam tadi, penyanyi itu sebenarnya kelihatan menahan sebak dan hampir menitiskan air mata.

Tampil dengan persalinan serba hitam, Kak Engku tidak mengecewakan audiens dengan persembahan penuh beremosi.

"Memang ada satu rangkap dalam lagu itu saya sudah sebak dan hampir menangis. Sampaikan saya mengangkat tangan saya dan memalingkan muka ke tepi.

"Namun, aksi itu sempat dirakamkan kamera dan saya terpaksa genggam tangan untuk menahan emosi agar tidak mengalirkan air mata.

"Itu disebabkan saya terharu dan tersentuh dengan sokongan anak-anak saya yang mengizinkan saya menyertai GV4.

"Tambah pula persembahan saya ketika itu diiringi tayangan gambar anak-anak saya dari kecil hingga usia mereka sekarang.

"Untuk membawa mereka ke pentas, itu tidak mungkin akan terjadi tetapi gambar-gambar itulah yang mengiringi semangat saya malam tadi," katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Kak Engku, dia juga terharu kerana terpilih antara 12 bintang untuk bertanding di pentas GV4 dan mendapat iringan muzik yang cukup gah.

"Seperkara lagi saya berdiri di pentas yang diiringi muzik yang sangat hebat!

"Terharu sebab sudah lama tidak menyanyi dan mendapat kualiti muzik serta instumen di tahap tinggi.

"Rugi kalau saya tidak menggunakan peluang yang ada. Saya tidak kisah markah tinggi atau rendah janji persembahan saya gah," katanya.

Kak Engku bagaimanapun berada di kedudukan terbawah antara kesemua bintang yang berentap pada konsert pertama GV4 malam tadi.

GV4 bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).

Saksikan juga Kapsul Gegar Vaganza yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat jam 10.55 malam.

Jika anda terlepas menonton konsert minggu pertama GV4 atau ingin menonton secara 'live streaming', klik ---> GegarVaganza

Dapatkan perkembangan terkini tentang GV4 hanya di laman sosial rasmi Instagram @gegarvaganzaofficial atau Facebook Astro Gempak atau di laman web www.gegarvaganza.com.my.

Teks oleh: Amri Hassan