Peserta GegarVaganza 3 (GV 3), Elly Mazlein mengakui dirinya tidak sihat ketika beraksi di konsert pertama GV3 malam tadi.

"Hari ini merupakan hari keempat saya tidak sihat. Saya mengalami demam, batuk dan sakit tekak.

"Saya terpaksa mengambil injection untuk sakit yang saya alami cepat sembuh kerana saya tidak mahu menghampakan penyokong saya.

"Saya rasa risau jika saya jatuh sakit, saya gagal memberikan persembahan terbaik. Alhamdulillah, konsert pertama berjalan lancar. Saya harap saya akan kembali sihat untuk berjuang di konsert kedua," kata Elly kepada Astro Gempak.

Mengakui dirinya gementar bersaing dengan penyanyi hebat lain, Elly berusaha sehabis baik untuk mempersiapkan diri dalam menempuh persaingan GV 3.

"Semuanya hebat-hebat belaka. Saya cuma berusaha sehabis daya dan menyerahkan perkara seterusnya kepada ketentuan rezeki.

"Daripada segi vokal, saya mendapatkan tunjuk ajar Fitri Hiswady, pemenang Dangdut Star. Untuk minggu hadapan, saya bakal menyanyikan lagu Berpisah Jua dari Ziana Zain. Saya berharap agar saya dapat memberikan yang terbaik," katanya lagi.

GV 3 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA pada setiap Ahad, pukul 9 malam serta boleh ditonton di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).

Konsert minggu kedua GV 3 bertemakan Memori Berkasih dan 12 peserta masih kekal berentap untuk merebut gelaran juara.

Jika anda terlepas menonton konsert minggu GV 3 atau ingin menonton secara 'live streaming', klik ---> GegarVaganza.





Teks oleh: Kamaruddin Razal