Pelakon Putri Najuwa mengakui merancang mahu segera menimang cahaya mata selepas mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Zaid Samsuri pada 23 September lalu.

Putri Najuwa atau nama sebenarnya Tengku Putri Najuwa Tengku Yusof, 32, berkata, dia dan suami masih mencari lokasi yang sesuai untuk berbulan madu.

"Sejak awal lagi saya dan suami memang merancang untuk segera menimang cahaya mata selepas berkahwin.

"Kalau boleh kami mahu mempunyai tiga orang anak kerana bagi saya anak itu merupakan kekuatan bagi sesebuah perkahwinan.

"Memandangkan suami masih sibuk sekarang dengan perniagaan, jadi kami tidak mempunyai destinasi untuk berbulan madu lagi dalam masa terdekat ini.

"Insya-Allah, bila semuanya selesai baru kami akan berfikir destinasi untuk berbulan madu," katanya kepada Astro Gempak.

Putri Najuwa berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Dubai My Love, di Cathay Cineplexes, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Jangan lupa untuk menyaksikan filem Dubai My Love di seluruh pawagam bermula 26 Oktober.

Selain Putri Najuwa, Dubai My Love turut dibintangi oleh Erwin Dawson dan Hanna Aqeela.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi