Pelawak Shuib Sepahtu dan penyanyi Amy Mastura meramalkan pelakon Kamal Adli bakal menjuarai pertandingan Super Spontan Superstar 2017 (SSS2017).

"Melihatkan kepada corak permainan, saya jangkakan Kamal bakal mencuri tumpuan dan mempunyai harapan untuk bergelar juara.

"Kamal seorang yang cekap dan cepat memberikan respon dalam sesebuah permainan," kata Shuib.

Tambah Amy pula, Kamal juga mempunyai kelebihan kerana mempunyai kelompok peminat yang kuat.

"Selain bermain dengan baik dalam setiap permainan, Kamal juga bertuah kerana mempunyai 'fan based' yang kuat. Mereka menyokong Kamal setiap minggu.

"Aksi dan keletah Kamal juga sering mencuri perhatian penonton. Atas sebab itu, saya meramalkan Kamal menjadi juara untuk SSS2017," kata Amy.

Di pusingan separuh akhir SSS2017 minggu lalu, ahli kumpulan King Musang yang kalah di tangan kumpulan Tenggiling Taiko mengundi nama Amy dan Shuib untuk menjadi mangsa penyingkiran.

Pusingan akhir bakal menyaksikan semua peserta bersaing secara individu untuk meraih gelaran juara SSS2017.

Selain Kamal, tujuh peserta yang bersaing merebut gelaran juara adalah Ozlynn, Sharif Zero, Mamak Puteh, Shahrol Shiro, Achey Bocey, Shuk SYJ dan Fad Bocey.

Saksikan pentas akhir Super Spontan Superstar 2017 yang bersiaran secara langsung di Dewan Percubaan UPM, Serdang, jam 10.00 malam ini di Astro Warna (saluran 132) dan Astro Warna HD (saluran 124).

Program ini juga boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan ‘on demand’.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @kamaladli, @shuibsepahtu & @amymasturalerr