Pengacara rancangan MeleTOP, Neelofa mengakui tidak terkesan dengan kritikan negatif netizen yang mengatakan lakonannya kaku dalam drama bersiri Red Velvet.

Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, 28, berharap agar peminat dapat bersabar menantikan episod seterusnya untuk melihat perkembangan watak Helena.

"Drama ini baru sahaja ditayangkan Isnin lalu. Sudah tentu watak itu sendiri ada perkembangan dan tidak sama sahaja.

"Kepada mereka yang mengkritik, tonton dahulu drama berkenaan secara menyeluruh dan cuba fahami jalan cerita.

"Saya tidak terkesan dengan kritikan negatif. Mungkin yang memberikan kritikan itu tidak memahami jalan cerita drama Red Velvet," kata Neelofa.

Selepas beberapa episod ditayangkan, segelintir pengguna laman sosial mula memberikan kritikan negatif di laman sosial Twitter.]

Ada yang mendakwa gandingan antara Neelofa dan Alif Satar tidak serasi dan ada juga yang mengatakan Neelofa kelihatan kaku apabila berada disamping Alif.

Neelofa ditemui di majlis pelancaran koleksi hijab terbarunya, Helena by Naelofar Hijab di Talent Lounge, Damansara Perdana semalam.

Koleksi Helena by Naelofar Hijab dilancarkan bersempena watak Helena yang dibawakan Neelofa dalam drama bersiri Red Velvet.

Dalam koleksi yang merangkumi instant hijab, selendang dan scarf ini, ia datang dengan beberapa nama unik seperti Sweet Helena, Fluffy Helena, Milky Helena, Creamy Helena dan Silky Helena.

Dijual dengan harga bermula RM60 sehingga RM99, koleksi Helena by Naelofar Hijab boleh didapati menerusi laman sesawang www.naelofarhijab.com

Sama-sama kita saksikan drama bersiri Red Velvet yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Untuk berinteraksi mengenai drama bersiri ini di laman sosial, jangan lupa sertakan hashtag #RedVelvetDrama #RedVelvet.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @neelofa