Bekas gitaris kumpulan Kristal, Hairyfitri Ahmad, 33, maut dalam kemalangan ketika berkonvoi bersama beberapa rakan untuk makan roti canai di Kuala Klawang semalam.

Menurut laporan Harian Metro, mangsa yang juga pembantu tadbir GiatMara meninggal dunia di Hospital Ampang, ketika mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Othman Basri berkata, dalam kejadian 11.35 pagi, Hairyfitri menunggang motosikal dari Ampang sebelum maut dalam kemalanan di kilometer 30, Jalan Kuala Klawang- Genting Peras.

"Dalam kejadian itu, motosikal ditunggangi mangsa hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

"Mangsa merempuh kereta di hadapan dan tercampak atas jalan," katanya.

Beliau berkata, Hairyfitri dibawa rakan-rakannya ke Hospital Ampang dan meninggal dunia ketika dirawat.

"Pemandu kereta terbabit iaitu seorang wanita berusia 30-an tidak cedera. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Olahan oleh: Syafiqah Jalal
Sumber: Harian Metro