Penyanyi dan pelakon baru, Daiyan Trisha kini telah 'dilamar' oleh seorang jejaka Indonesia.

Jangan cepat salah sangka kerana 'lamaran' yang diterima oleh Daiyan ialah berkaitan dengan kerjaya seninya sebagai seorang penyanyi.

Daiyan dilamar oleh seorang penyanyi Indonesia, Calvin Jeremy untuk berkolaborasi dalam sebuah lagu yang berjudul Kita.

"Ini merupakan pengalaman pertama saya berkolaborasi dengan penyanyi luar. Lamaran ini pun saya dapat secara tiba-tiba.

"Pihak pengurusan memberitahu saya mengenai peluang kolaborasi ini dan mereka menyuruh saya mendengarkan melodi lagu tersebut terlebih dahulu.

"Jika saya gemarkan muzik tersebut, saya boleh meneruskan projek kolaborasi ini. Selepas mendengarnya, saya tertarik dengan lagu tersebut dan memutuskan untuk berkolaborasi dengan Calvin.

"Saya gembira dapat bekerja dengan Calvin dan merasakan kolaborasi ini sebagai satu batu loncatan untuk saya mengintai dan melebarkan sayap saya sebagai penyanyi di pasaran Indonesia," kata Daiyan kepada Astro Gempak.

Bertemu dengan Calvin, jejaka berusia 25 tahun ini memilih Daiyan kerana keunikan yang ada terhadap vokal Daiyan.

"Saya memilih untuk berkolaborasi dengan Daiyan kerana suaranya cukup serasi dengan vokal saya. Lagu yang berjudul Kita ini juga menyerlahkan lagi karakter suara saya dan Daiyan.

"Lagu berentak pop ini mempunyai nuansa jazz. Lagu ini saya tulis sendiri dan diterbitkan oleh Irwan Simanjuntak, penerbit popular Indonesia.

"Lagu ini berkisarkan mengenai individu yang tidak percayakan cinta dan akhirnya dia bertemu dengan seseorang yang membuatkan dirinya kembali percaya kepada cinta," kata Calvin kepada Astro Gempak.

Teks oleh: Kamaruddin Razal