Penerbit dan pengarah filem Erma Fatima mengakui hatinya kini diikat seorang jejaka Pakistan.

Ketampanan dan keterampilan dimiliki Saim Ali, seorang pelakon Pakistan membuatkan Erma terpanggil untuk menyunting jejaka tersebut membintangi watak dalam pementasan teater muzikal Mak Cun D'Walei.

Erma, 48, atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad berkata, kekacakan dimiliki Saim mampu untuk menarik minat penonton menyaksikan pementasan teater itu nanti.

"Sejujurnya biar saya berterus terang sahaja, alasan saya mengambil Saim kerana dia kacak dan wajahnya boleh membawa penonton datang ke panggung Istana Budaya.

"Saim mempunyai pakej yang lengkap kerana dia bukan sahaja kacak tetapi lakonannya juga amat baik serta mempunyai bakat dalam tarian seperti yang saya mahukan.

"Nilai komersial pada Saim yang juga seorang model terkenal itu akan memberi kelainan dan sesuai dengan tema Bollywood yang boleh diketengahkan dalam Mak Cun D'Walei," katanya kepada Astro Gempak.

Sementara itu, Erma berkata, walaupun Saim dipilih melalui rupa parasnya di carian Google namun dia masih mengutamakan mutu lakonan dan kebolehan menari.

"Saya jumpa dia ketika membuat carian di Google dan dia mempunyai pakej yang di mahukan selepas saya tonton video lakonannya menerusi lakonannya di Youtube," katanya.

Mak Cun D'Walei akan menemui penonton di Panggung Sari, Istana Budaya selama 10 hari bermula 4 hingga 13 November depan.

Selain Saim dan Erma, teater muzikal itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Datuk Rahim Razali, Datin Seri Umie Aida, Abam, Balkish Semundur Khan, Amy Search, Fatiya Latiff dan Nadia Brian.

Erma berkata, dia memilih tema Bollywood kerana ingin memberi kelainan dan penggunaan perkataan D'Walei itu sebenarnya membawa maksud berjiwa besar sesuai dengan sifat Mak Cun.

Tiket bagi menyaksikan teater muzikal Mak Cun D'Walei dijual pada harga RM36, RM76, RM86, RM106, RM156 dan RM256 dan ia boleh didapati menerusi www.airasiaredtix.com bermula 25 Oktober ini.


Teater MAK CUN D'Walei cominggg.. #makcund'walei

A photo posted by Ermafatima (@ermafatima) on



Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi