Penyanyi Hafiz Hamidun sah bercerai talak satu dengan Joy Revfa di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, semalam.

Hafiz, 33, melafazkan cerai terhadap Joy atau Siti Arifah Mohd Amin, 30, di hadapan Hakim Syarie, Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shukran Yusof.

Mahkamah memaklumkan, talak satu ‘ba-in Sughra’ (Bain Sughra) itu dijatuhkan kerana pasangan berkenaan tidak pernah melakukan hubungan kelamin.

Mahkamah juga memerintahkan tiada tuntutan daripada kedua-dua belah pihak selepas mereka bersetuju untuk tidak membuat sebarang tuntutan sepanjang tempoh perkahwinan.

Tiada tempoh edah bagi perceraian 'ba-in Sughra' ini kerana pasangan berkenaan tidak melakukan hubungan kelamin dan mereka tidak boleh rujuk kecuali melalui proses akad nikah semula.

Hafiz ditemani pengurus Nasir Deraman dan peguam Azmi Mohd Rais. Dia tiba di mahkamah pukul 2.30 petang.

Penyanyi itu selaku plaintif memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47, Enakmen Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 pada 12 Oktober lalu.

Joy pula diwakili peguam Aznor Suhaida Dolah.

Pasangan ini berkahwin pada 1 Mei lalu.

Sumber: mStar Online