Penyanyi Wany Hasrita mengakui ramai jejaka cuba berkenalan dengannya namun tidak ramai yang betul-betul serius.

Kata pelantun lagu Menahan Rindu itu, kebanyakan lelaki yang cuba berkenalan dengannya sekadar menegurnya di Instagram.

"Memang ada yang cuba berkenalan dengan saya tetapi hanya berani di Instagram sahaja. Tidak serius dan tidak konsisten pun, kita sendiri pun boleh tahu.

"Kalau betul-betul serius datanglah jumpa ibu saya dahulu sebab ibu saya adalah individu paling rapat dan akan berada dimana-mana sahaja saya ada," katanya yang ditemui pada majlis sidang media Separuh Akhir Muzik-Muzik 32 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Wany, 24, mengakui masih solo dan tidak meletakkan tempoh tertentu untuk bercinta atau mendirikan rumah tangga.

"Ya, saya masih solo dan saya tiada kriteria spesifik tentang lelaki yang saya minat. Asalkan saya selesa bersamanya sudah memadai," tambahnya.

Wany tercalon menerusi lagu solo Menahan Rindu dan duetnya bersama Tajul, Di Sana Cinta Di Sini Rindu untuk Separuh Akhir Muzik-Muzik 32 yang akan berlangsung pada 29 Oktober, 5 dan 12 November ini.

Sebanyak 30 lagu layak ke peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik 32 yang akan berentap di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @wanyhasrita