Anggota kumpulan K-Pop G-Friend, Yuju terpaksa menahan sakit apabila tersungkur di atas pentas beberapa kali ketika membuat persembahan.

Insiden itu berlaku ketika kumpulan itu mempersembahkan lagu berjudul Me Gusta Tu untuk sebuah acara pertandingan sukan di Korea baru-baru ini.

Difahamkan kejadian berlaku kerana pentas menjadi licin gara-gara hujan dan ia menyebabkan mereka sukar untuk menari

Menerusi perkongsian rakaman video seorang peminat di Youtube, jelas kelihatan beberapa pekerja pentas sedang sibuk mengelap lantai yang basah untuk mengelakkan berlaku sebarang kemalangan kepada G-Friend sebelum persembahan bermula.

Melihat kepada keadaan pentas tersebut, G-Friend kemudiannya cuba menari dengan berhati-hati namun nasib tidak menyebelahi Yuju apabila dia tersungkur beberapa kali dan terpaksa menahan sakit setelah lutut dan mukanya terkena pada pemukaan pentas selain bunyi hentakan juga jelas kendengaran.

Bagaimanapun, Yuju tetap bersikap profesional dengan meneruskan kembali persembahannya bersama empat anggota lain iaitu Eunha, SinB, Sowon dan Yerin.

Walaupun wajahnya tidak seceria sebelum ini, dia tetap memberikan senyuman kepada para peminat yang hadir seolah-olah memberitahu mereka supaya tidak risau dengan keadaannya.

Dalam perkembangan lain, seorang lagi anggota kumpulan G-Friend, Eunji dinasihatkan untuk berehat kerana mengalami kecederaan pada bahagian kakinya.


Teks Oleh: Mya Amri