Penyanyi Amylea mendedahkan dia hanya mangambil masa selama dua jam untuk menyiapkan lagu Selamanya yang dinyanyikan oleh Idayu di Konsert Akhir AF Megastar.

Amylea teruja apabila Idayu mahu dia menggubah sebuah lagu khas untuknya meskipun di saat-saat akhir iaitu selepas Konsert Separuh Akhir AF Megastar.

"Pada mulanya, Idayu bertanyakan kepada saya jika saya ada lagu simpanan yang saya gubah untuk diberikan kepadanya.

"Sebagai penulis saya memberitahunya saya tiada simpanan lagu kerana saya akan menggubah sebuah lagu baru jika ada permintaan.

"Apabila diminta Idayu untuk mencipta sebuah lagu untuknya, saya tanpa membuang masa terus sahaja menyiapkannya dan tidak sangka ia hanya mengambil masa dua jam.

"Saya teruja apabila Idayu gembira dengan lagu yang saya gubah dan membuat keputusan untuk memilih lagu saya daripada 20 buah lagu yang diterimanya.

"Lebih terharu apabila lagu saya dinyanyikan di pentas akhir meskipun impian saya untuk berada di pentas itu tidak kesampaian," katanya kepada Astro Gempak.

Selain mendendangkan lagu ciptaan sepenuhnya oleh Amylea, Idayu turut mempersembahkan sebuah lagu cover daripada penyanyi Mariah Carey iaitu My All.

Mengulas mengenai lagu Selamanya, Amylea memberitahu lagu itu menceritakan perjalanan dan susah payah Idayu untuk mencipta nama dalam industri seni tanah air.

"Sebenarnya sebagai penyanyi, saya faham apa yang dilalui oleh Idayu dalam penantian dan penyiksaan untuk mencipta nama sebagai penyanyi.

"Jadi lagu ini mengisahkan perjalanan seninya yang selama 12 tahun itu terbalas dengan kejayaan.

"Cerita bermula daripada dia menapak ke dalam Akademi Fantasia 3 dan kini bergelar juara di AF Megastar," jelasnya lagi.

Selain Idayu, finalis lain yang turut berentap di pentas akhir AF Megastar adalah Marsha, Bob, Syamel dan Shahir.

Teks oleh: Syafiqah Jalal