Watie Diperintah Bayar RM99,500, Hana Lega Dapat Kebebasan Semula

25 Oktober 2017. 3.36 PM
68,371
Hiburan
Watie Diperintah Bayar RM99,500, Hana Lega Dapat Kebebasan Semula
Bekas anggota kumpulan Elite, Hana Adnan lega apabila Mahkamah Sesyen Selayang memerintahkan rakannya, pelakon Watie Sadali membayar RM99,500 kepada Jabatan Insolvensi Malaysia bagi membersihkan status muflisnya.

“Alhamdulillah akhirnya penantian ini berakhir dan saya bebas menjalani kehidupan seperti biasa.

“Sejak diisytiharkan muflis saya tidak dapat ke luar negara. Impian berjumpa dengan dua anak saya Aaron Danial Mann, 16 dan Alayna Daniella Mann, 15, yang kini berada di London bersama bekas suami akhirnya tercapai,”€ katanya

Watie atau nama sebenarnya Norwati Sadali diperintahkan membayar RM99,500 sebagai bayaran pertama kepada jabatan itu sebelum atau pada 30 November ini.

Perintah itu dikeluarkan oleh Hakim Rasyihah Ghazali di kamarnya.

Mahkamah memerintahkan Watie membayar baki itu sehingga Jabatan Insolvensi mengeluarkan surat mengesahkan Hana atau nama sebenarnya Norhanasafiza Mat Adnan, 39, bebas daripada status muflis.

Selain itu mahkamah juga memerintahkan Watie membayar RM2,500 sebulan pada atau setiap 25 hari bulan sehingga selesai membayar ganti rugi berjumlah lebih RM700,000 yang sudah diputuskan sebelum ini.

Hana hadir bersama peguamnya Samir Zainal manakala Watie hadir bersama suaminya Joey atau Zulkifli Daud.

Sebelum ini, Hana memenangi saman terhadap Watie berhubung kegagalan penyanyi itu menyelesaikan bayaran pinjaman bank yang menggunakan namanya untuk membeli Toyota Wish.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Hana mendakwa dirinya membuat pinjaman bank kenderaan itu September 2005 bagi pihak Watie sebanyak RM150,000 kerana pelakon terbabit tidak layak membuat pinjaman.

Namun, Watie gagal mematuhi syarat ditetapkan seperti membayar ansuran bulanan, cukai jalan, insurans dan perkara berkaitan sejak September 2010.

Akibat kejadian itu, Hana diisytiharkan muflis pada 1 April 2013 dan perkara itu tersebar di blog sehingga mendatangkan malu kepadanya.

Selain itu, dia juga mengalami tekanan dan kejadian itu memberikan kesan negatif kepada kariernya.

Sumber: Harian Metro

Artikel Berkaitan