Sibuk Macam Mana Pun, Saya Tetap Selesa Urus Anak Sendiri - Krisdayanti

17 Oktober 2016. 1.46 PM
39,902
Hiburan
Sibuk Macam Mana Pun, Saya Tetap Selesa Urus Anak Sendiri - Krisdayanti

Penyanyi terkenal Indonesia, Krisdayanti akui lebih selesa menguruskan anak-anaknya sendiri walaupun sibuk dengan kerja.

Krisdayanti atau lebih mesra dengan panggilan KD ini berkata dia mahu anak-anaknya mendapat perhatian dan kasih sayang sepenuhnya memandangkan mereka kini sedang membesar.

“Bagi saya keluarga adalah keutamaan saya, sibuk macam mana pun keluarga dan anak-anak tetap nombor satu.

“Sebab itu saya lebih selesa menguruskan anak-anak sendiri dan melihat mereka membesar di depan mata.

“Suami saya pula jarang ada dirumah kerana sibuk dengan kerja dan sering berulang-alik dari Jakarta ke Timur Laste atas urusan perniagaan.

“Jadi sayalah yang sering menghantar dan mengambil anak dari sekolah, uruskan segala keperluan mereka dan apa yang boleh saya katakan, saya sangat bahagia dengan kehidupan sekarang.

“Walaupun suami sibuk bekerja, tapi dia juga tidak lupa untuk memberikan sokongan kepada saya sama ada dari segi kerjaya mahupun keluarga.

“Dia juga sentiasa ada bersama tidak kira waktu senang atau susah,” katanya ketika ditemui Astro Gempak sewaktu sesi temubual eksklusif di Jakarta baru-baru ini.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai bekas suaminya, Anang Hermansyah, KD memberitahu dia tidak mempunyai sebarang masalah malah hubungannya dengan isteri Anang, Ashanty juga baik.

“Walaupun Aurel dan Azriel tidak tingal bersama saya, tapi secara jujurnya saya merasakan  Anang dan Ashanty telah menjaga mereka dengan baik.

"Saya faham untuk menjaga anak-anak yang semakin membesar itu perlu berdepan dengan banyak ragam dan kemahuannya.

 “Paling tidak pun kalau Aurel mencari saya, dia pasti ingin membuat luahan hati atau mahukan sesuatu, biasalah anak yang umurnya 18 tahun emosinya pasti rumit.

“Berbanding dengan Azriel yang lebih suka berterus-terang, Aurel pula seorang yang suka meluahkan isi hatinya melalui penulisan.

“Aurel juga lebih selesa menulis isi hatinya kepada saya melalui aplikasi WhatApps, sebagai ibu bila saya membaca luahannya, sudah pasti saya akan cuba mencari solusi kepada masalahnya yang dihidapinya,” jelasnya.

Krisdayanti dan Raul bernikah pada Mac 2011 dan hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan dua orang anak, Arianha Amora Lemos, 5, dan Kellen Alexander Lemos, 2.

Manakala dua orang lagi anak iaitu Aurel, 18, dan Azriel Akbar Hermansyah, 16, hasil perkahwinan terdahulu bersama Anang.

Dalam perkembangan lain, KD akan mengadakan Konsert Romansa Krisdayanti yang bakal berlangsung di Istana Budaya pada 26 hingga 28 Februari 2017.

Konsert yang dibawakan oleh Syarikat Malaysia, Neo Global Sdn Bhd ini dipimpin oleh pengarah muzik terkenal Aubrey Suwito dan KD bakal menyanyikan sekitar 28 buah lagu.

Teks Oleh: Mya Amri





Artikel Berkaitan


Komen