Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dikurniakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia - Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Siti menerima darjah kebesaran Pahang sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang pagi tadi.

"Alhamdullillah, patik menjunjung kasih di atas pengurniaan darjah kebesaran ini dan semoga patik menjadi rakyat Pahang yang berbakti kepada agama, bangsa, negeri dan negara patik.

"Menjunjung Kasih Tuanku. Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang," tulis Siti di akaun Instagramnya.

Selain Siti, Datuk Eizlan Yusof dan Datuk Maria Menado turut menerima gelaran sama.

Manakala, pelakon Singapura, Adi Putra menerima Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Pereka fesyen terkenal, Jovian Mandangie juga dianugerahkan Peringkat Kedua Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang turut membawa gelaran Datuk.

Mereka antara 50 penerima yang dipilih untuk menerima anugerah sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar, hari ini.

Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: Harian Metro, IG @ctdk