Penyanyi Elly Mazlein berharap agar penyertaan penyanyi profesional yang bertanding di GegarVaganza (GV) tidak dipandang negatif.

Elly yang merupakan bekas bintang GV3 bersyukur kerana menyertai program itu tahun lalu.

“Bagi saya, GV merupakan pembuka rezeki. Penyertaan penyanyi profesional lain tidak harus dipandang remeh kerana GV merupakan satu program yang memberi banyak impak positif.

“Saya bersyukur kerana menyertai GV tahun lalu dan saya akui GV banyak membantu dalam menyemarakkan karier nyanyian saya,” kata Elly kepada Astro Gempak.

Tambah Elly, undangan nyanyian yang diterimanya tidak pernah putus selepas tamatnya GV3 tahun lalu.

“Alhamdulillah, semenjak GV, undangan nyanyian tidak pernah putus. Saya tidak menang tangan, kadang-kadang rasa penat pun ada.

“Tapi saya buang perasaan itu jauh-jauh kerana saya mencari rezeki demi anak dan bapa saya. Rezeki yang datang juga adalah rezeki mereka.

“Menariknya, semenjak tamatnya program itu, peminat lebih suka jika saya menyanyikan lagu tugasan yang pernah saya dendangkan sewaktu GV3. Bayangkan, orang lebih suka saya nyanyi lagu Perawan Atau Janda berbanding lagu saya sendiri,” katanya lagi.

Jangan lupa untuk menyaksikan 12 bintang GV4 iaitu Hazami, Liza Hanim, Aishah, Elyana, Syura, Haida, Raja Azura, Aqasha, Lan Kristal, Tia Jinbara, Firman Siagian, dan Ferhad.

Konsert pertama GV 4 akan berlangsung pada 29 Oktober ini di Astro Ria (104) dan Ria HD (123) atau di aplikasi Astro Go dan On Demand.

GV 4 bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra Bukit Jalil, setiap Ahad jam 9 malam.

Saksikan juga Kapsul Gegar Vaganza yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat jam 10.55 malam bermula 16 Oktober ini.

Dapatkan perkembangan terkini tentang GV 4 hanya di laman sosial rasmi Instagram @gegarvaganzaofficial atau Facebook Astro Gempak atau di laman web www.gegarvaganza.com.my.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @iamellymazlein