Pelakon Putri Najuwa mengakui masih membiasakan diri bergelar seorang isteri selepas mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Zaid Samsuri pada 23 September lalu.
Putri Najuwa atau nama sebenarnya Tengku Putri Najuwa Tengku Yusof, 32, berkata, dia kini sedang berehat tiga bulan kerana mahu memberi perhatian kepada keluarga.
"Saya masih belajar untuk menjadi seorang isteri dan melakukan kerja-kerja rumah dengan sendiri.
"Mungkin dahulu apabila tinggal dengan keluarga kerja-kerja itu dilakukan oleh pembantu dan bila telah berpindah saya melakukan segalanya dengan sendiri.
"Saya mengambil keputusan berehat selama tiga bulan untuk memberi fokus kepada suami dan keluarga sebelum kembali aktif pada tahun depan.
"Ternyata bergelar seorang isteri merupakan pengalaman yang menyeronokkan dan baru bagi saya," katanya kepada Astro Gempak.
Putri Najuwa berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Dubai My Love, di Cathay Cineplexes, Mutiara Damansara, baru-baru ini.
Dubai My Love akan menemui penonton pada 26 Oktober ini di seluruh pawagam.
Selain Putri Najuwa, Dubai My Love turut dibintangi oleh Erwin Dawson dan Hanna Aqeela.