Konsert AF Megastar akhir telah pun melabuhkan tirainya malam tadi di Royal Teater Shah Alam.

Menampilkan dua tugasan, iaitu single baharu dan lagu cover, lima finalis AF Megastar telah memberikan persembahan hebat dan memukau.

Malam kemuncak AF Megastar menyaksikan Idayu dinobatkan sebagai juara sekaligus menewaskan Bob, Syamel, Marsha, dan Shahir.

Idayu menerima sebuah trofi, hadiah wang tunai berjumlah RM100,000, pakej percutian 10 hari 7 malam ke Turkey tajaaan SelamatBercuti.com dan e-Gift Card daripada GoShop bernilai RM6,000.

Pentas akhir turut menyaksikan Idayu menerima anugerah Megastar Pilihan Raku.

Idayu telah mendapat markah tertinggi dan berada di kedudukan teratas dengan markah sebanyak 59.9 peratus.

Sementara Marsha telah dipilih sebagai penerima Anugerah Terlajak Megastar yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 tajaan D’Herbs.

Selain itu, Syamel pula menerima anugerah Ultimate Performer dan membawa pulang eGiftCard daripada GoShop bernilai RM3,000 serta sebuah trofi.

Sebanyak 60 peratus markah telah diadili oleh juri tetap Datuk Ramli MS dan Syafinaz Selamat serta Datuk Awie sebagai juri jemputan.

Selebihnya, 40 peratus adalah hasil undian iaitu AFUNDI menerusi laman web www.afmegastar.com.my serta khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada peminat.

Di bawah merupakan persembahan dan komen-komen juri yang telah diberikan:

Shahir - Tapi Bukan Aku (Kris Patih)


"Ini baru persembahan pertama dan saya tidak mahu komen lebih-lebih. Tapi persembahan tadi bagus cuma kena jaga-jaga kerana tadi ada terkucil sedikit," - Awie

Mama Jangan Pergi (Komposer & Lirik - Shahir dan Awi Rafael)


"Teknikal awak kene baiki dalam persembahan. Awak punya suara lelaki yang sangat bagus dan harap awak boleh menjualnya di luar," - Ramli MS

Bob - Terbuang Dalam Pelukan (Komposer: Hafiz Hamidun / Lirik Bob)


"Nak buat lagu baharu bukan mudah tapi tepukkan yang awak terima daripada penonton menunjukan lagu ini telah memikat hati ramai orang. Awak nyanyikan dengan sedih tapi muziknya 'grand' ," - Syafinaz Selamat

Bukan Dia Tapi Aku - Judika


"Nyanyian awak tak dinafikan sangat bagus dan saya harap awak terus berjuang dan jangan sia-siakan bakat yang awak ada," - Awie

Idayu - My All (Mariah Carey)


"Nyanyian kamu bagus sebab kamu menyanyi lagu ini dalam versi awak sendiri," - Ramli MS

Selamanya (ciptaan sepenuhnya Amylea Azizan)


"Pakej awak dengan baju dan persembahan awak sangat cantik malam ini, saya harap Malaysia lebih hargai penyanyi seperti awak," - Syafinaz Selamat

Syamel - Biar Cinta (ciptaan sepenuhnya oleh Syamel)


"Drama awak tadi agak kurang sedikit tapi vokal saya akui mantap," - Awie

Seniman Menangis (Datuk Jamal Abdilah)


"Dengan bakat yang awak ada ini saya harap awak rebutlah peluang di luar dan buat duit," - Ramli MS

Marsha - Pilihlah Aku (Krisdayanti)


"Tenaga yang awak berikan sangat bagus hingga dapat dirasai oleh semua penonton tapi kali ini saya tak dapat rasa melodi lagu ini bila awak menyanyikannya ," - Syafinaz Selamat

Hilang - (Komposer & Lirik- Ezra Kong, Omar K, Dilayla Khalid)


"Saya rasa awak dah beri persembahan yang terbaik tadi dan nyanyian yang bagus. Cuma saya nak tegur props yang awak gunakan itu buat awak gayat dan menggangu sedikit persembahan awak," - Awie

AF Megastar bersiaran secara langsung di Astro Ria (104) dan Ria HD (123), setiap hari Ahad, jam 9 malam.

Untuk menonton video persembahan bintang-bintang AF Megastar, layari www.gempak.com/af-megastar/video

AF Megastar juga boleh ditonton secara langsung di laman www.afmegastar.com.my

Jika mahu menonton koleksi konsert akhir Akademi Fantasia dari musim pertama hingga ke AF2013, boleh ke Astro On Demand (OD) dengan melayari www.watchod.com

Teks oleh: Syafiqah Jalal