Konsert AF Megastar bakal melabuhkan tirai akhirnya di Royale Theatre Shah Alam pada jam 9 malam ini.

Lima bintang iaitu Idayu, Bob, Marsha, Syamel dan Shahir bakal bersaing untuk merangkul gelaran juara AF Megastar sekaligus merebut wang tunai berjumlah RM100 000.

Namun di antara lima bintang tersebut siapakah yang diramal bakal dinobatkan sebagai juara bagi pertandingan nyanyian pertama yang dianjurkan oleh pihak Astro itu?

Jika hendak dinilai, dari mula konsert hingga kini nama Idayu sering menjadi sebutan antara bintang yang bakal merangkul gelaran juara.

Tidak hairanlah, kerana Idayu satu-satunya bintang yang kerap mendapat markah tertinggi serta berada di kedudukan pertama pada setiap minggu Konsert AF Megastar.

Malah persembahan bintang bersuara gemersik itu setiap minggu tidak pernah menghampakan serta telah mendapat dua kali penghormatan 'standing ovation' daripada penonton serta penyanyi pertama yang mendapat penghormatan yang sama daripada juri tetap AF Megastar, Datuk Ramli MS

Pun begitu, Ramli berkata sebagai juri dia masih mempunyai beberapa nama yang dilihat sering memberi persaingan sengit setiap minggu.

"Idayu, Bob dan Marsha antara bintang yang memberikan persembahan konsisten setiap minggu.

"Sukar untuk menentukan siapa juara kerana juri hanya diberikan 60 peratus markah sahaja selebihnya adalah hasil undian.

"Jadi apa sahaja boleh berlaku nanti," katanya kepada Astro Gempak.

Selain Idayu, bintang lain yang pernah berada dikedudukan pertama di Konsert AF Megastar adalah Bob, Syamel dan Marsha.

Meskipun Shahir tidak pernah berada di kedudukan teratas, namun bintang ini sering memberikan persembahan di luar jangkaan serta berbeza dari kebiasaannya.

Apa-apa pun kelima-lima bintang itu dilihat mempunyai kelebihan tersendiri serta kemantapan vokal yang berbeza hingga melayakan mereka bertanding di pentas akhir.

Hanya satu bintang sahaja yang bakal dinobatkan sebagai pemenang dan ia hanya akan ditentukan di Konsert AF Megastar Akhir malam ini.

Dikemudikan oleh Datuk Aznil Hj Nawawi, AF Megastar bersiaran secara langsung di Astro Ria (104) dan Ria HD (123), pada Ahad, jam 9 malam.

Untuk menonton video persembahan bintang-bintang AF Megastar, layari http://www.gempak.com/af-megastar/video

AF Megastar juga boleh ditonton secara langsung di laman http://www.afmegastar.com.my/

Jika mahu menonton koleksi konsert akhir Akademi Fantasia dari musim pertama hingga ke AF2013, boleh ke Astro On Demand (OD) dengan melayari www.watchod.com

Teks oleh: Syafiqah Jalal