Penyanyi muda popular kelahiran Brunei yang mencipta nama di Indonesia, Jaz mengakui amat kagum dengan pencapaian dan kejayaan yang diperolehi oleh Faizal Tahir.

Jaz atau nama sebenarnya Abdul Aziz Hayat, 24, berkata, dia menjadikan penyanyi itu sebagai idola dan mempunyai impian untuk berkolaborasi bersama pada masa akan datang.

“Sebenarnya saya amat kagum dengan kejayaan yang diraih oleh Faizal Tahir dan karya-karya yang dihasilkan oleh dia begitu luar buasa.

“Sejujurnya saya ada sebab tersendiri kenapa menjadikan dia sebagai idola dalam industri muzik di Malaysia.

“Saya juga mendapat banyak inspirasi daripada karya-karya yang dihasilkan oleh dia dan jika boleh saya mahu belajar tentang muzik dengan Faizal Tahir.

“Tidak dapat dinafikan bakat yang ada pada Faizal Tahir dan jika boleh suatu hari nanti saya mahu berkolaborasi dengan dia,”katanya kepada Astro Gempak.

Jaz berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media, Ekslusif Showcase bersama Jaz di Red Box Plus, Pavilion Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Jaz merupakan seorang penyanyi untuk lagu bertajuk ‘Dari Mata’ yang menjadi salah satu muzik latar dalam drama Suri Hati Mr. Pilot lakonan Fattah Amin dan Neelofa.

Jangan lupa untuk menyaksikan persembahan ekslusif Jaz, di IOI City Mall Putrajaya (LG West Wing) pada 21 Oktober (esok) pada pukul 3 petang.

Persembahan itu turut menampilkan beberapa artis lain seperti Farisha Irish, Ary Hadre, Insomniacks, Leo Danniel dan Sarma Cherry.