Penyanyi dan penulis lirik Aizat Amdan memohon agar peminatnya supaya mendoakan kesihatan ayahnya yang dimasukkan ke hospital akibat serangan angin ahmar.

Aizat Amdan atau nama sebenarnya Muhammad Aizat Amdan, 28, berkata, akibat serangan angin ahmar itu telah menyebabkan sebelah kanan badan ayahnya lumpuh.

"Ayah telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak dua minggu lalu dan keadaannya kini telah stabil dan masih dipantau oleh doktor yang menjaganya.

"Perkara ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada kami sekeluarga dan kami hanya boleh cuba sedaya untuk mendapat rawatan terbaik bagi ayah.

"Namun saya juga berharap agar peminat-peminat diluar sana dapat sama-sama mendoakan kesihatan ayah supaya dia segera sembuh seperti sedia kala.

"Alhamdulillah, kami sekeluarga saling membantu antara satu sama lain untuk menjaga ayah serta cuba memberikan semangat dan menceriakan dirinya," kata Aizat.

Aizat berkata demikian ketika ditemui semasa program Jom Bercuti Bersama Aizat Amdan dan Nastia di Hotel Frangipani Langkawi Resort And Spa, Kedah, baru-baru ini.

Seramai enam orang peminat bertuah telah dibawa bercuti ke Pulau Langkawi bersama artis kegemaran mereka.

Program Jom Bercuti Bersama Aizat Amdan dan Nastia merupakan anjuran bersama Warner Music Malaysia, Astro Gempak dan Hotel Frangipani Langkawi Resort And Spa.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi