Penyanyi dan pelakon Firdee Akassya Rosli, 35, atau lebih popular sebagai Aqasha memberitahu dia mendapat izin daripada keluarga dan isterinya untuk menyertai GegarVaganza 4 tahun ini.

Jelas pelakon filem Embun itu, ibunya menjadi individu yang paling gembira apabila mendapat tahu dia layak untuk menyertai program tersebut.

"Ibu bapa saya tahu kecintaan saya dalam dunia nyanyian dan ibu saya menjadi orang yang paling gembira dan teruja apabila dimaklumkan saya dapat menyertai GV4.

"Saya boleh bayangkan setiap minggu dia akan terpacak depan televisyen untuk menonton persembahan anak dia dan isteri saya pun sangat menyokong. Sudah tentu dia pun mengharapkan saya menang.

"Penyertaan saya dalam GV4 adalah usaha untuk membuktikan diri saya dan peminat bahawa saya masih mampu beraksi di pentas.

"Jika tahun lepas saya tidak dapat menyertai GV kerana ada komitmen dengan lakonan dan jadual bertindih.

"Namun, tahun ini peluang itu terbuka dan syukur saya dapat bertanding bersama penyanyi-penyanyi hebat dan tersohor tanah air," katanya.

Sebelum terjun ke bidang lakonan, Aqasha terlebih dahulu menyinar dalam bidang seni suara.

Malah, Aqasha pernah menghasilkan tiga buah album iaitu Cahaya Hati (2000), Impian (2002) dan Qashanova (2011).

Selain Aqasha, 11 bintang GV4 lain ialah Liza Hanim, Aishah, Elyana, Syura, Haida, Raja Azura, Aqasha, Lan Kristal, Tia Jinbara, Hazami, Firman Siagian, dan Ferhad.

Konsert pertama GV4 akan berlangsung pada 29 Oktober ini di Astro Ria (104) dan Ria HD (123) atau di aplikasi Astro Go dan On Demand.

GV4 bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra Bukit Jalil, setiap Ahad jam 9 malam.

Saksikan juga Kapsul Gegar Vaganza yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat jam 10.55 malam bermula 16 Oktober ini.

Dapatkan perkembangan terkini tentang GV4 hanya di laman sosial rasmi Instagram @gegarvaganzaofficial atau Facebook Astro Gempak atau di laman web www.gegarvaganza.com.my.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @theaqasha