Penyanyi Shiha Zikir mengakui dirinya cerewet dalam soal pemilihan lagu.

"Sebelum muncul dengan single terbaru yang berjudul Jagakan Dia, saya sudah mendengar banyak lagu lain namun satu pun tak melekat di hati saya.

"Saya sangat bersifat cerewet kerana mahu memberikan yang terbaik kepada peminat. Lebih-lebih lagi apabila saya kini sudah bergerak sendiri di bawah syarikat saya, SZ Entertainment.

"Selepas mendengar lagu ciptaan sepenuhnya oleh Ippo Hafiz ini, hati saya menjadi terpaut. Saya terus teringatkan ibu bapa saya selepas menghayati lagu ini. Saya terus bersetuju mahu merakam Jagakan Dia," kata Shiha kepada Astro Gempak.

Tambah Shiha, dia selesa bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana syarikat rakaman untuk mendapat kepuasan dalam pekerjaan.

"Saya rasa senang bergerak sendiri selepas tamat kontrak dengan syarikat rakaman pada Mac lalu. Menerusi penghasilan single terbaru, saya terlibat dalam proses awal, sesi rakaman dan gubahan lagu, penggambaran muzik video sehinggalah majlis pelancaran.

"Saya berharap single ini mendapat sambutan. Jika ditakdirkan sebaliknya, saya tidak ralat kerana saya sudah berpuas hati kerana memberikan hasil kerja yang terbaik. Mungkin belum rezeki," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran single Jagakan Dia di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur semalam.

Single tersebut merupakan hasil kerjasama SZ Entertainment bersama LMA Talent House dan disokong oleh Airish London.

Pada majlis yang sama, Shiha turut dilantik sebagai duta produk kecantikan Airish London selama setahun.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan tawaran ini dan akan memastikan saya melaksanakan tugas untuk mempromosikan Airish London sebaik mungkin," ujarnya.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @shihazikir