Demi Karier Lakonan, Iedil Putra Sanggup Ulang Alik KL-Jakarta

18 Oktober 2017. 6.43 PM
3,020
Hiburan
Demi Karier Lakonan, Iedil Putra Sanggup Ulang Alik KL-Jakarta
Demi memenuhi tawaran lakonan yang diterima, pelakon Iedil Putra akui sanggup berulang alik antara Indonesia dan Malaysia.
 
Iedil yang kini menetap di Jakarta, Indonesia bersama isterinya, Prisia Nasution berkata dia sudah menjadikan ia rutin apabila ke Malaysia lebih dua kali setiap bulan.

"Saya bersyukur, rezeki saya murah pula sejak berkahwin ini kerana turut mendapat tawaran berlakon di Indonesia.

"Saya dapat beberapa tawaran berlakon di sana seperti filem televisyen (FTV), teater dan drama bersiri.

"Antara FTV lakonan saya bertajuk 25 Juta Menuju Cintamu yang kini sedang ditayangkan. Buat pertama kali juga saya berlakon bersama isteri untuk siaran drama di Indonsia. 

"Saya tidak mempunyai masalah malah sudah biasa berulang alik KL-Jakarta. Sejak bercinta dulu pun saya kerap juga ke sana," katanya kepada Astro Gempak.

Sebelum ini Iedil dan Prisia belakon dalam filem Interchange, arahan Dain Said.

Iedil memberitahu dia juga telah belajar bertutur bahasia Indonesia kerana tawaran di sana menuntutnya untuk berbuat begitu.

"Tawaran di sana rata-ratanya menuntut saya bertutur dalam bahasa Indonesia, jadi sekarang saya belajar dan dalam proses memperbaiki bahasa Indonesia atas bantuan dan tunjuk ajar isteri.

"Peminat juga ada yang mula mengenali saya dan kalau saya keluar berjalan-jalan ada yang menegur dan mereka mahu bergambar," katanya lagi.

Mengenai perkembangan lain, Iedil bakal beraksi di pentas Ola Bola Muzikal yang diarahkan oleh Puan Sri Tiara Jacquelina.

Teater muzikal Ola Bola bakal dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya mulai 8 Februari 2018. 

Teks oleh: Syafiqah Jalal


Artikel Berkaitan