Pelakon dan pelawak Jihan Muse akui teruja diberi kepercayaan untuk menjadi hos Anugerah Skrin 2017 (ASK2017) yang bakal berlangsung November depan.

“Teruja, ini kali pertama jadi pengacara dalam keadaan memboyot kita tengoklah macam mana nanti.

“Digandingkan pula dengan Fahrin dan Shuk, memang seronok jadinya,” katanya ketika sesi sidang media ASK2017 yang berlangsung di Hotel Marriot, hari ini (Selasa).

Selain Jihan, pelakon Fahrin Ahmad dan Shuk Balas juga turut diumumkan sebagai pengacara ASK2017.

Mengangkat tema Mencipta Fenomena, anugerah kali ini mempertaruhkan 33 kategori antaranya Pengarah Drama Terbaik, Drama Terbaik, Filem Terbaik dan Pelakon Komedi Terbaik.

Manakala antara barisan penyampai anugerah trofi pada malam tersebut adalah Neelofa, Fattah Amin, Zul Ariffin, Rozita Che Wan dan Shukri Yahya.

Malam berprestij itu juga bakal diserikan dengan persembahan daripada Nora Ariffin, Auda Jebat, Hael Husaini, Jaclyn Victor, Haqiem Rusli dan Akim & The Majistret.

Dalam pada itu, ASK2017 kali ini juga turut menganjurkan Majlis Prelude ASK2017 yang akan berlangsung pada jam 5 petang hari yang sama.

Majlis tersebut akan mengumumkan 13 anugerah awal iaitu Videografi Drama Terbaik, Penyunting Drama Terbaik, Drama Rantaian Popular, Rancangan Dokumentari Terbaik dan Rancangan Bual Bicara Terbaik.

ASK 2017 bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 3 November depan.

Foto: Instagram @jihanmuse