Penyanyi Shiha Zikir mengangkat kisah kenalan rapat dalam muzik video single terbarunya, Jagakan Dia.

Jagakan Dia merupakan single terbaru Shiha yang dicipta sepenuhnya oleh Ippo Hafiz dan muzik video tersebut menampilkan lakonan Shiha disamping aktor Saharul Ridzwan.

“Muzik video tersebut menampilkan jalan cerita seorang wanita yang kehilangan anak serta suaminya.

“Kenalan saya pernah melalui dugaan tersebut dan saya ada bercerita kepadanya mengenai muzik video saya.

“Selepas muzik video saya selesai, saya ada tunjukkan kepadanya. Dia menangis kerana mengingatkan tragedi yang pernah ditempuhi satu masa dulu,” kata Shiha kepada Astro Gempak.

Pertama kali bergandingan dengan Saharul, Shiha mengakui dia menghubungi Saharul di laman Instagram.

“Ketika saya merangka jalan cerita muzik video tersebut, saya terus teringatkan Saharul kerana perwatakannya sangat sesuai dengan jalan cerita yang saya cuba tampilkan.

“Saya memang tidak mengenali Saharul sebelum ini lantas saya memberanikan diri menghubunginya menerusi laman Instagram. Saya tak sangka dia bersetuju apabila saya mengusulkan cadangan tersebut.

“Alhamdulillah, sangat mudah untuk saya bekerjasama dengan Saharul. Dia sangat profesional dan penggambaran muzik video ini hanya dilakukan dalam masa sehari sahaja,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran single Jagakan Dia di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur semalam.

Pada majlis yang sama, Shiha turut dilantik sebagai duta produk kecantikan Airish London selama setahun.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @shihazikir