Buat pertama kali anak kepada penyanyi Tomok, Arrianshah Akid telah menggubah serta merakamkan lagunya sendiri.

Tomok berkata anaknya telah menggubah karya pertamanya untuk digunakan sebagai lagu tema program realiti Rockstar Junior: Arrian & Andra

"Tak sangka pula, bila saya beritahu Arrian yang saya mahu gubah sebuah lagu untuk program ini, tiba-tiba dia keluar dengan satu melodi.

"Dengan melodi yang Arrian cipta itu saya terus cari melodi tambahan di piano dan terhasil sebuah lagu gabungan kami berdua.

"Apabila lagu penuh serta lirik dah siap saya bawanya ke studio rakaman.

"Tak sangka proses rakaman lagu bersama Arrian dilakukan dengan mudah dan tidak mengambil masa yang lama," katanya kepada Astro Gempak.

Rockstar Junior bakal memaparkan kisah kehidupan harian keluarga Tomok dan isterinya Rahayu Abas membesarkan dan mendidikan dua orang anak terunanya, Arrianshah Akid, 5, dan Andrashah Iman, 2.

Pun begitu, Tomok memberitahu dia tidak menggalakan anaknya untuk memilih bidang nyanyian sebagai kerjaya mereka kelak.

"Saya tak nafikan Arrian memang sukakan muzik, malah dia suka menyanyi.

"Namun saya tidak galakkan Arrian untuk menjadi penyanyi kerana saya tak mahu dia melalui kesukaran sebagai anak seni seperti apa yang saya sudah lalui.

"Saya lebih banyak tekankan akademi dan pelajaran agama kepadanya.

"Namun saya tidak berani untuk berkata apa lagi kerana dia masih kecil dan tidak tahu apa yang akan berlaku di masa hadapan.

Tomok dan keluarganya bakal muncul dalam program Meletop dan Arrian bakal menyanyi secara "live" malam ini di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Rockstar Junior bersiaran menerusi slot eBu, setiap Rabu pukul 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).