Pelakon Rita Rudaini mengakui terkilan apabila restoran Rumah Kueh yang diusahakannya sejak setahun lalu terpaksa ditutup.

Rita, 41, yang juga pemilik perniagaan itu menjelaskan tindakan itu dibuat ekoran jadualnya yang sibuk hingga sukar memberikan fokus untuk perniagaannya.

"Rumah Kueh menamatkan operasi pada bulan Ramadan lalu selepas setahun beroperasi kerana kesibukan saya hingga jarang dapat meluangkan waktu menjenguk restoran sendiri.

"Lagipun, kontrak sewa premis itu sudah habis selepas setahun dan saya sendiri tidak mahu sambung.

"Susah untuk saya percayakan orang lain selain keluarga saya, jadi saya mengambil keputusan untuk menutup restoran itu.

"Pastinya sesiapa yang pernah berbisnes pasti akan merasai pahit manisnya, memang akan ada masalah-masalah tertentu tetapi bukan kerana tak laku. Saya anggap ini semua pengalaman yang berguna," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran produk Safi Rania Gold di St Giles, Kuala Lumpur semalam.

Hal itu bagaimanapun tidak melemahkan semangat Rita untuk terus mengembangkan perniagaannya selepas ini.

"Saya masih mempunyai bisnes kosmetik yang diusahakan bersama keluarga saya, jadi tidaklah terasa ralat sangat. Kalau ada rezeki saya buka Rumah Kueh di lokasi baharu pula," tambah Rita.

Rumah Kueh beroperasi di Kota Damansara, Selangor dan menjual kuih-muih tradisional terkenal daripada beberapa negeri.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @ritrud727