Bintang AF Megastar, Amir Syazwan Masdi, 21, tidak melenting apabila dipanggil Amir Chicken namun meminta agar jolokan itu tidak dipanjangkan selepas tamat rancangan realiti itu.

Kata Amir yang merupakan juara AF2016, dia lebih ingin dikenali sebagai Amir Masdi berbanding Amir Chicken.

"Pada mulanya saya kurang selesa apabila dipanggil Amir Chicken, gelaran itu seperti membawa makna negatif.

"Namun, saya juga positifkan panggilan itu dan bagi saya itu gambaran bahawa saya peserta paling muda dan paling kecil dalam kalangan penyanyi lain.

"Sejujurnya saya tidak kisah dipanggil Amir Chicken tetapi biarlah dalam AF Megastar sahaja.

"Selepas ini panggillah saya Amir Masdi," katanya kepada Astro Gempak.

Gelaran Amir Chicken disebut oleh pengacara AF Megastar, Datuk Aznil Nawawi pada minggu-minggu awal konsert bagi membezakannya dengan Amir Jahari yang turut berentap pada musim ini.

Amir antara dua bintang AF Megastar yang terkandas di pusingan separuh akhir minggu lalu selain Amir Jahari.

Mendendangkan lagu Kullul Hubbi (nyanyian asal Mu'adz Dzulkefly, Noh Salleh, Faizal Tahir dan Aizat Amdan) dan Dirgahayu (Datuk Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir), Amir gagal menambat hati juri dan pengundi SMS.

Berkongsi perancangan terbaharu, Amir bakal mengeluarkan single kedua selepas Waktu pada hujung tahun ini.

"Minggu lalu ada yang menawarkan saya lagu baru tetapi saya belum sempat mendengarnya sebab terlalu sibuk membuat persediaan separuh akhir AF Megastar.

"Insya-Allah memang dalam perancangan untuk saya melancarkan single terbaharu dalam tahun ini juga," katanya yang menyifatkan serasi dengan muzik rancak.

AF Megastar bersiaran secara langsung di Astro Ria (104) dan Ria HD (123), setiap hari Ahad, jam 9 malam.

Untuk menonton video persembahan bintang-bintang AF Megastar, layari http://www.gempak.com/af-megastar/video

AF Megastar juga boleh ditonton secara langsung di laman http://www.afmegastar.com.my/

Jika mahu menonton koleksi konsert akhir Akademi Fantasia dari musim pertama hingga ke AF2013, boleh ke Astro On Demand (OD) dengan melayari www.watchod.com

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @akademi_fantasia