Penyanyi kelahiran AF 2013, Aisyah Aziz akui terkejut apabila berjaya membawa pulang tiga trofi di Anugerah Planet Muzik 2017 (APM 2017).

Tercalon dalam sembilan kategori, lagu dendangan Aisyah, Tanda Tanya meraih trofi Kolaborasi Terbaik Lagu manakala gandingan Aisyah bersama penyanyi Singapura, Haikal Ali melayakkan dirinya memenangi trofi Lagu Terbaik Singapura dan Lagu Terbaik APM.

“Alhamdulillah, kemenangan ini memang mengejutkan saya. Sejujurnya, saya hanya meletakkan harapan untuk memenangi satu trofi sahaja menerusi kategori Lagu Terbaik Singapura. Tak sangka rezeki turut berpihak kepada saya dalam dua kategori lain.

“Anugerah ini saya jadikan pemangkin semangat untuk berusaha menghasilkan karya muzik lebih berkualiti di masa akan datang, Insya-Allah,” kata Aisyah.

Ketika ditanya mengenai rancangan masa hadapan, Aisyah mempunyai perancangan untuk muncul dengan album mini ataupun EP.

“Jika semuanya dipermudahkan dan berjalan lancar, saya bakal tampil dengan album pada hujung tahun ini atau awal tahun depan.

“Selepas ini, saya bakal muncul dengan satu single terbaru berjudul Indah Pada Waktunya, duet bersama penyanyi Indonesia, Rizky Febian,” katanya.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Paranormal