Pelakon Amar Baharin mengucapkan rasa syukur impian isterinya, aktres Amyra Rosli untuk bersalin secara normal tercapai.

Menurut Amar, Amyra dan anaknya kini berada dalam keadaan sihat.

“Amyra memang rasa gembira sangat, dia berjaya bersalin secara normal seperti yang diimpikan.

“Alhamdulillah, ibu dan anak, kedua-duanya sihat. Cuma Amyra masih lagi ditahan di wad kerana doktor mahu dia berehat.

“Amyra memang seorang yang kuat dan saya kagum dengan usaha dia untuk bersalin normal.

“Dia nekad untuk bersalin normal kerana ibunya sebelum ini pun bersalin secara normal,” katanya ketika ditemubual oleh Fad dan Dina menerusi segmen petang di ERA, ERA.fm petang tadi (Isnin).

Ditanya perasaan ketika pertama kali menyambut kelahiran bayi sulungnya, Amar berkata, dia seperti tidak percaya dengan anugerah berharga daripada Allah itu.

“Rasa macam tak percaya, betul ke tidak? Macam bermimpi pun iya juga.

“Bila tengok anak tu...Ya Allah, comel sangat rasa macam nak gigit-gigit pipi dia,” katanya ketawa.

Dalam pada itu, Amar turut berterima kasih kepada peminat yang sentiasa mendoakan mereka.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada peminat-peminat yang banyak mendoakan kami sekeluarga,” katanya mengakhiri perbualan.

Amyra selamat melahirkan bayi sulung mereka di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur pada Ahad.

Foto: Instagram Amar Baharin

Sumber: ERA.fm