Selepas enam tahun merajuk gara-gara tidak dibayar untuk berlakon dalam sebuah pementasan teater, hati Farahdhiya akhirnya kembali terbuka tahun ini untuk beraksi di pentas teater.

Kata Farahdhiya, rajuknya selama enam tahun pulih selepas ditawarkan untuk mendukung peranan srikandi Melayu, Tun Fatimah dalam teater bangsawan Bahara Emas yang mencabar kredibilitinya melebihi lakonan dan nyanyian.

"Memang fobia masih ada ketika awal ditawarkan untuk terbabit dengan produksi teater ini, hati rasa berbelah bahagi.

"Namun, saya rasa inilah masanya untuk saya kembali dan ini projek paling susah saya pernah buat.

"Dalam teater Bahara Emas saya akan bersilat dan menari tarian tradisional Melayu yang saya tidak pernah buat sebelum ini.

"Tertekan juga pada mulanya namun hari demi hari berlatih saya rasa lebih serasi dan insya-Allah akan lebih baik," katanya yang ditemui pada sidang media teater Bahara Emas di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebelum ini, Farahdhiya pernah ditipu oleh produksi teater Terima Kasih Cinta (TKC) pada 2011 yang gagal melunaskan pembayaran pelakon selepas tamat pementasan.

Teater bangsawan Bahara Emas dipentaskan sempena ulang tahun ke-50 Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Memegang peranan Tun Fatimah kata Farahdhiya memerlukannya untuk lebih banyak membaca.

"Tiada kajian spesifik untuk watak yang akan saya galas dalam teater ini kerana memang tiada gambaran khusus mengenai ciri-ciri fizikal dan keperibadian Tun Fatimah.

"Namun, saya lebih banyak membaca dan mendapatkan panduan daripada pengarah teater ini, Rosminah Tahir," tambahnya.

Selain Farahdhiya, teater itu turut dijayakan Izzue Islam, Amar Asyraf, Esma Daniel, Mardiana Alwi, Datuk Jalaluddin Hassan dan 40 pelakon tambahan.

Teater Bahara Emas dipentaskan secara percuma di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 19 hingga 20 Oktober ini.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @farahdhiya_fd