Pelawak dan penyampai radio terkenal, Johan akui gementar menggalas tanggungjawab sebagai pengacara program realiti Lawak Solo.

Sebelum ini, Johan sering dipadankan bersama Zizan Razak sebagai pengacara bersama dalam rancangan realiti Raja Lawak.

“Program Lawak Solo merupakan program realiti pertama yang menampilkan saya sebagai pengacara tunggal. Sebelum ini, saya bersama Zizan mengendalikan Raja Lawak selama beberapa musim.

“Saya akui saya rasa gementar tanpa kehadiran rakan pengacara lain seperti Zizan tetapi saya akan mencuba untuk menggalas tanggungjawab tersebut sebaik mungkin,” kata Johan yang ditemui di siding media Lawak Solo baru-baru ini.

Lawak Solo merupakan sebuah program realiti komedi baru di mana pihak Astro Warna ingin mencari pelapis untuk memeriahkan lagi dunia komedi solo ataupun stand-up comedy yang kini dilihat semakin mendapat perhatian di kalangan peminat komedi tanah air.

“Program komedi terbaru terbitan kami ini sememangnya berbeza jika dibandingkan dengan program-program komedi terdahulu seperti Raja Lawak dan sebagainya.

“Peserta Lawak Solo akan dibimbing oleh barisan pelawak terkenal seperti Nabil Ahmad, Ebby Yus dan Douglas Lim.

“Mereka bertiga ini bakal bertindak sebagai penasihat komedi dan akan bersama para peserta mengasah kemahiran berlawak masing-masing menerusi sesi pembelajaran khas yang diadakan pada setiap minggu,” kata Raqim Ahmad selaku Ketua Saluran Melayu Astro.

Selain Johan, Fad Bocey juga akan turut memeriahkan program Lawak Solo ini selaku hos dibelakang tabir bersama dua lagi pelawak baru laman sosial iaitu Jamal dan Zukiee. 10 orang peserta Lawak Solo bakal diadili dua juri tetap, Datuk AC Mizal bersama Saiful Apek dan seorang juri jemputan setiap minggu.

Lawak Solo yang bakal bersiaran selama lapan minggu akan mula menemui penonton secara langsung dari Studio Finas, Kompleks Merdeka FINAS pada setiap hari Jumaat, bermula 21 Oktober 2016, jam 10.00 malam dan boleh ditonton secara eksklusif menerusi Astro Warna (Saluran 132) dan tayangan serentak di Mustika HD (Saluran 134).


Teks oleh: Kamaruddin Razal