Bakat baru yang tular di laman aplikasi Smule pada tahun lalu, Nur Ameera Nabila Azmi atau Cikgu Meera mempertaruhkan single pertamanya berjudul Oh Sayangku.

Single pertama tersebut merupakan karya sepenuhnya oleh komposer berpengalaman Eddie Hamid dan Nur Hakim.

Selain itu, Eddie hamid juga bertindak sebagai produser.

Menurut Cikgu Meera, Oh Sayangku merupakan sebuah lagu yang cukup sinonim dengan jiwanya yang 100 peratus berkait rapat dengan kehidupan personal dan karier seninya.

"Lagu ini berkisarkan tentang kecintaan seseorang yang mempunyai perasaan sayang mendalam selepas di tinggalkan kekasihnya dan berharap kekasihnya akan kembali kepadanya

“Kelainan single ini jika dibandingkan dengan lagu-lagu masa kini ialah keindahan melodi melakolik dan digarap liriknya yang matang. Tidak hanya itu, saya turut menekankan aspek vokal secara total.

“Begitupun, kalau didengari semula, susunan muzik untuk lagu ini lebih moden dan bercitarasa alaf ini," katanya.

Tambahnya lagi, dia kini sudah bersedia menjalani kehidupan sebagai anak seni tanpa melupakan tanggungjawab sebagai pendidik .

Tidak mahu mengundang masalah kemudian hari, Meera juga sudah meminta izin Kementerian Pendidikan untuk menggunakan nama ‘Cikgu Meera’.

Dia turut minta restu pengetua sekolahnya untuk bergerak aktif dalam bidang seni dan rakan setugasnya juga memberikan sokongan serta dorongan.

Guru muzik di salah sebuah sekolah di Shah Alam ini juga merupakan anggota Kebudayaan Negeri Perak dan berbakat dalam cabang seni lain seperti bersajak dan bersyair.

“Harapan saya agar single ini bakal meraih tumpuan peminat sekali gus dapat memberi sokongan terhadap sumbangan kecil hasil seni saya bersama komposer ini.

“Tidak ketinggalan, saya sentiasa berambisi tinggi untuk terus menghadirkan lagu-lagu berkonsep unik bagi lebih mewarnai kanvas bidang hiburan tempatan.

Para peminat kini boleh melayari video lirik lagu Oh Sayangku di https://www.youtube.com/watch?v=cW566xfYzhY

Oh Sayangku merupakan satu lagi edaran daripada Nova Music Sdn. Bhd. dengan kolaborasi JAYY Production selaku pihak pengurusan Cikgu Meera.