Pelawak Sharif dari kumpulan Zero memuji gaya permainan yang ditampilkan oleh Rahim Sepahtu dalam Super Spontan Superstar 2017 (SSS2017).

Pertama kali menyertai program realiti tersebut, Sharif menjadikan gaya permainan Rahim sebagai panduan untuk dirinya sebagai peserta baru.

"Saban minggu, saya melihat Rahim sering memberikan persembahan cemerlang. Saya sering meneliti apa yang dilakukan oleh Rahim atas pentas SSS2017.

"Dia sangat spontan dan cekap. Dia juga memberikan respon yang pantas untuk menghangatkan lagi permainan yang diberikan. Saya sering melihat dan banyak belajar dari Rahim," kata Sharif kepada Astro Gempak.

Mengakui terharu kerana dapat bertanding di samping pelawak-pelawak senior, Sharif mahu menjadikan SSS2017 sebagai platform untuk dirinya belajar banyak perkara.

"Saya sangat gembira dapat menyertai SSS2017. Rasa terharu pun ada dapat berkongsi pentas dengan ramai pelawak berpengalaman.

"SSS2017 juga saya jadikan landasan terbaik untuk banyak belajar. Saya mahu mengutip ilmu dalam bidang lawak untuk memberikan persembahan yang terbaik buat peminat," katanya lagi.

Saksikan Super Spontan Superstar 2017 yang bersiaran secara langsung di Dewan Percubaan UPM, Serdang, bermula 8 September 2017, setiap Jumaat, jam 10.00 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Astro Warna HD (saluran 124).

Program ini juga boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan ‘on demand’.

Teks oleh: Kamaruddin Razal