Pengarah Ola Bola Muzikal, Puan Sri Tiara Jacquelina akui mempunyai sebab mengapa beliau menampilkan lebih banyak wajah baru dalam muzikal tersebut.

Tiara gembira kerana berjaya mengumpulkan individu yang bukan sahaja mempunyai bakat sebagai seorang pelakon malah berbakat dalam bidang seni lain termasuk menyanyi, menari, rapping dan sebagainya.

"Barisan pelakon yang dipilih, membayangkan semangat penceritaan Ola Bola itu sendiri, dimana seluruh rakyat malaysia dari berbilang kaum dan latar belakang bersatu untuk memberi sokongan kepada pasukan bola sepak Negara.

"Dalam Ola Bola Muzikal, kami gabungkan individu yang berbakat dari komuniti seni negara yang datang dari pelbagai latar belakang seperti filem, teater, muzik, bintang Youtube, rapper, hip hop, penair, pelakon kanak-kanak dan ramai lagi," katanya kepada Astro Gempak.

Ola Bola Muzikal bakal menyaksikan Luqman Hafidz dan Lim Jian Wen kembali beraksi sebagai Ahmad Ali dan Ong Tiam Cai.

Dua pelakon asal yang membintangi filem Ola Bola ini akan kekal membawa watak masing-masing di dalam muzikal tersebut.

"Saya bangga dengan dua pelakon asal ini kerana mereka ambil cabaran untuk datang lagi beberapa ujibakat sama seperti pelakon baru yang lain.

"Luqman sangat berdedikasi sebagai seorang pelakon dan dia sangat rendah diri meskipun dia dalah bintang utama filem tersebut.

"Sementara Jian Wen, dia seperti bernafas dan hidup dengan watak Ah Chai. Dia sangat enjoy dengan wataknya dan berjaya membuat saya bangga dengan bakatnya," katanya lagi.

Wajah-wajah baru yang membintangi pementasan ini ialah Brian Chan sebagai Chow Kwok Keong atau Tauke, Abimanyu Masilamani sebagai Muthu Kumar dan Kai Chalmers sebagai Eric Yong di mana masing-masing merupakan pelakon yang tidak asing lagi di pentas teater.

Sementara itu, Altimet pula bakal muncul sebagai penampilan istimewa dalam Muzikal Ola Bola ini dengan membawa watak Drill Sarjan Ahmad.

Keenam-enam pelakon ini adalah antara 40 orang pelakon yang bakal membarisi pementasan muzikal ini menerusi pemilihan yang dibuat daripada 300 orang yang hadir pada sesi uji bakat yang berlangsung pada hujung Ogos lalu.