Sah! Siti Nurhaliza Hamil - Spekulasi Kehilangan Penyanyi Nombor Satu Negara Terjawab

13 Oktober 2017. 10.12 PM
115,029
Hiburan
Sah! Siti Nurhaliza Hamil - Spekulasi Kehilangan Penyanyi Nombor Satu Negara Terjawab

Spekulasi mengenai kehilangan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 38, beberapa bulan kebelakangan ini terjawab apabila beliau mengesahkan sedang hamil empat bulan.

Berita baik tersebut dikongsi Siti pada majlis kesyukuran dan doa selamat yang diadakan secara tertutup di kediaman beliau di Bukit Antarabangsa, Ampang.

Sebelum itu, kira-kira jam 8.45 malam Siti memuat naik entri di Instagram dan mengumumkan beliau bakal mengadakan sesi live di laman sosial tersebut.

Menerusi sesi live tersebut, Siti mengucapkan rasa syukur dan berharap agar semua mendoakan yang baik-baik sahaja buat dirinya dan bayi di dalam kandungan.

Pada Julai lalu, Siti pernah dispekulasikan hamil selepas foto ultrasound yang didakwa milik beliau bocor.

Bagaimanapun suami kepada pelantun suara Segala Perasaan itu, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau lebih dikenali dengan Datuk K, meminta orang ramai tidak membuat apa-apa spekulasi sebaliknya mendoakan impian mereka untuk menimang cahaya mata menjadi kenyataan.

Pada 1 Disember 2015, Siti Nurhaliza mengakui mengalami keguguran ketika usia kandungannya berusia dua bulan. 


Artikel Berkaitan