Pengarah Datuk Yusof Haslam dimasukkan ke hospital selepas disyaki mengalami keracunan makanan sejak pagi semalam.

Menurut Yusuf, dia mula berasa tidak sihat sejak beberapa hari lalu sebelum mengalami muntah-muntah dan hilang selera makan.

“Saya sudah pergi ke klinik dan diberikan ubat. Masa itu selera makan sudah semakin kurang.

"Saya paksa juga diri untuk makan roti namun selepas makan, saya mula mengalami muntah-muntah dan terus ke hospital.

“Sudah beberapa kali saya muntah hingga membuatkan badan saya lemah,” katanya yang dimasukkan ke Hospital KPJ Tawakkal.

Pengarah itu juga tidak menolak kemungkinan faktor tekanan bekerja membuatkan badannya mula lemah.

“Sekarang memang saya sibuk dengan mengendalikan syarikat dan terlibat dengan program televisyen.

“Syamsul pula sedang menjalani penggambaran filem Munafik 2. Jadi, ruang untuk saya berehat itu agak terhad,” ujarnya.

Buat masa ini, Yusof memberitahu beliau kemungkinan akan berada di hospital selama dua atau tiga hari mengikut arahan doktor.

Tambah Yusof, kejadian yang berlaku ini adalah peringatan untuknya supaya tidak berkerja terlalu keras walaupun semangatnya masih membara.

“Selagi saya sihat, saya akan terus bekerja tetapi kena berjaga-jagalah supaya tidak memberi kesan yang tidak baik kepada kesihatan,” jelasnya.

Sumber: Utusan Online
Foto : Instagram@Mohd Noor Kadir