Tak Cukup Ilmu Nak Meniaga Tudung, Raja Ilya Jual Kopi

18 Oktober 2016. 2.00 PM
16,412
Hiburan
Tak Cukup Ilmu Nak Meniaga Tudung, Raja Ilya Jual Kopi

Pelakon Raja Ilya mengakui dirinya tidak mempunyai cukup ilmu dan minat untuk memulakan perniagaan menjual hijab.

“Menjadi kelaziman seorang artis wanita di Malaysia untuk melibatkan diri dalam perniagaan tudung dan selendang. Sebelum saya memulakan perniagaan, saya turut memikirkan mengenai perkara tersebut.

“Namun begitu, selepas berfikir panjang, saya sendiri tidak mempunyai cukup ilmu dan tidak mempunyai minat yang tinggi untuk memulakan perniagaan hijab.

“Saya lebih tertarik kepada peniagaan yang berasaskan servis seperti kafe, kedai, restoran dan sebagainya,” kata Ilya kepada Astro Gempak.

Atas sebab tersebut, bekas peserta program realiti Gempak Superstar itu kini mengorak langkah baru sebagai seorang usahawan dengan membuka sebuah lifestyle coffee shop.

“Sebagai seorang penggemar kopi, saya menjadikan perkara tersebut sebagai satu kelebihan. Saya kini membuka sebuah kedai kopi premium, Richiamo Coffee di Varsity Mall, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah bersama dua orang rakan kongsi.

“Sebelum membuka kedai kopi premium ini, saya sendiri turun padang untuk membuat kajian mengenai perisa dan biji kopi yang bakal kami jual.

“Kami mencari pendekatan baru dengan membuka cawangan di pusat pengajian tinggi dan menjual kopi premium dengan harga mampu milik.

“Secawan kopi dijual tidak melebihi RM10. Alhamdulillah, setakat ini, perniagaan yang kami usahakan mendapat sambutan positif dan kami merancang untuk membuka cawangan lain dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Ilya baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem KL Vampires. Menerusi filem tersebut, Ilya bergandingan bersama aktor kacak Indonesia, Donny Alamsyah.

Teks oleh: Kamaruddin Razal






Artikel Berkaitan


Komen