Pelbagai spekulasi timbul sejak pengacara gandingan bersama Nabil, Jihan Muse berbadan dua.

Ada segelintir peminat setia program GegarVaganza menebak Jihan tidak lagi mengemudi rancangan yang sudah memasuki musim keempat itu dan bakal bersiaran dua minggu dari sekarang.

Bagaimanapun, Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad menegaskan GegarVaganza 4 (GV4) masih melantik Nabil Ahmad dan Jihan Muse sebagai pengacara tetap.

"Nabil dan Jihan masih lagi menjadi pengacara GegarVaganza 4.

"Walaupun umum mengetahui keadaan Jihan yang kini berbadan dua, dia masih mampu menggalas peranan tersebut untuk musim ini.

"Namun, ia bergantung pada tahap kesihatan dan kemampuan Jihan," katanya pada sidang media GegarVaganza 4 di The Gardens Theatre, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Nabil Ahmad dan Jihan Muse menjadi pengacara sejak tiga musim GegarVaganza bersiaran daripada tahun 2014.

GV4 masih mengekalkan Datuk Ramli MS sebagai juri tetap dan kerusi juri tetap kedua masih dirahsiakan sehingga konsert pertama.

Jangan lupa untuk menyaksikan 12 bintang GV4, iaitu, Liza Hanim, Aishah, Elyana, Syura, Haida, Raja Azura, Aqasha, Lan Kristal, Tia Jinbara, Firman Siagian, Hazami dan Ferhad pada konsert pertama yang akan berlangsung pada 29 Oktober ini di Astro Ria (104) dan Ria HD (123) atau di aplikasi Astro Go dan On Demand.

GV4 bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra Bukit Jalil, setiap Ahad jam 9 malam.

Saksikan juga Kapsul Gegar Vaganza yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat jam 10.55 malam bermula 16 Oktober ini.

Dapatkan perkembangan terkini tentang GV4 hanya di laman sosial rasmi Instagram @gegarvaganzaofficial atau Facebook Astro Gempak atau di laman web www.gegarvaganza.com.my.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @nabilzira, @jihanmuse