Finalis Hero Remaja 2017 (HR 2017), Ikmal Amry mengakui lega apabila dapat memohon maaf secara terbuka dengan rakannya, Aiman Rahman kerana perselisihan faham, baru-baru ini.

Menurut Ikmal, dia merupakan seseorang yang sukar mengakui kesilapan dan apatah lagi memohon maaf secara terbuka kepada individu yang mempunyai masalah dengan dirinya.

"Tipu jika saya kata tidak ada salah faham diantara finalis yang lain sepanjang menyertai HR 2017 ini.

"Saya lega kerana dapat memohon maaf dengan Aiman kerana sejak awal lagi, kami mempunyai perselisihan faham dan akhirnya masing-masing mengakui kesilapan sendiri.

"Saya lega apabila dapat melafazkan kata maaf kepadanya secara terbuka dan kami memilih untuk berdamai serta meletakkan ego jauh-jauh demi kebaikan di masa hadapan.

"Industri ini amat kecil untuk mempunyai musuh dan saya rasa keputusan kami untuk berbaik adalah jalan terbaik," katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Ikmal, dia menyimpan hasrat untuk terus aktif sebagai seorang pelakon selepas tamat program Hero Remaja nanti.

"Selepas ini jika ada rezeki saya ingin meneruskan karier dalam bidang lakonan kerana saya ingin membawa pelbagai watak, terutama watak 'psycho’ dan ‘serial killer’.

"Saya mungkin seorang yang pemalu tetapi apabila bergelar seorang pelakon, saya perlu berani dan berjiwa besar. Watak berat seperti ini akan melatih saya menjadi lebih baik," ujarnya.

Untuk mengetahui perkembangan terbaharu mengenai finalis-finalis Hero Remaja, jangan lupa saksikan rancangan Hero Remaja 2017, setiap hari Khamis pada pukul 9 malam, di salauran Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).

Sementara itu, penonton juga boleh menyaksikan 'Hero Remaja x Astro Gempak' secara digital di laman web Astro Gempak.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi