Bekas anggota kumpulan Senario, Yassin Yahya mengakui masih menerima tawaran dalam bidang lakonan.

Menurut Yassin, dia kini lebih selektif dalam menerima sebarang tawaran lakonan kerana enggan membawa watak yang tidak memberi kesan kepada penonton

"Mungkin ramai yang beranggapan saya sudah hilang daripada industri namun sebenarnya ada sahaja tawaran lakonan yang diberikan kepada saya.

"Cuma tawaran yang diterima sekarang ini tidak sebanyak dahulu, kerana bagi saya biarlah peluang itu diberikan kepada muka-muka baharu dalam industri ini.

"Ini kerana saya ingin mencuba pelbagai watak dan tidak mahu ambil watak yang sama saja.

"Biasanya saya akan membaca skrip terlebih dahulu sebelum menerima sesuatu tawaran yang diberikan,” katanya kepada Astro Gempak.

Yassin berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman Karnival Jelajah Mesra Medan Jodoh 2017 di 137 Cafe Bistro Ampang, Pandan Indah, baru-baru ini.

Karnival Jelajah Mesra Medan Jodoh 2017 kini berlangsung pada 6 hingga 15 Oktober ini di Padang Anam, Batu Anam, Segamat Johor.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi