Vokalis kumpulan Ungu, Pasha, mengakui berpuas hati apabila berjaya menghiburkan peminat di Malaysia selepas menjayakan Konsert Terunggul Afgan & Ungu di Stadium Malawati, Shah Alam.

Menurut Pasha, sebagai seorang penghibur yang berpengalaman selama 20 tahun dalam bidang nyanyian, mereka lebih matang untuk memahami keinginan dan selera peminat.

"Sebenarnya mengadakan konsert bukan hanya sekadar nyanyian tetapi sebagai seorang penghibur kami harus berinteraksi bersama peminat yang hadir.

"Komunikasi di antara penonton dan artis adalah sangat penting dalam persembahan kerana penonton memainkan peranan besar dalam menyalurkan tenaga positif ketika mengadakan persembahan.

"Malah ini juga merupakan salah satu faktor bagaimana kami mampu bertahan dalam industri," katanya kepada Astro Gempak.

Ungu berkata demikian ketika ditemui pada Konsert Terunggul Afgan & Ungu, di Stadium Melawati, Shah Alam, baru-baru ini.

Pada konsert tersebut, Pasha telah menyampaikan lagu seperti Tercipta Untukku, Demi Waktu, Kekasih Gelapku, Cinta Dalam Hati dan Aku Tahu selain bergabung dengan Afgan membawakan lagu Cinta Yang Lain.

Lebih 5,000 peminat yang hadir pada konsert itu terpukau dengan persembahan bertenaga daripada kedua-dua artis hebat ini.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi