"Saya Ditinggalkan, Bukan Dibuang" - Dijumpai Di Perhentian Bas 21 Tahun Lalu, Jejaka Ini Cari Ibu Bapa Kandungnya

10 Oktober 2017. 12.17 PM
31,666
Viral

Seorang lelaki bernama Mohamad Putera Zainuddin tular di media sosial selepas memuat naik keratan akhbar mengenai dirinya yang ditinggalkan di perhentian bas 21 tahun lalu.

Putera ditinggalkan di sebuah perhentian bas yang terletak di Kampung Megat, Jalan Maran, Tasik Paya Bungor, Kuantan pada 23 September 1996.



Ketika itu, Putera dianggarkan berusia 10 hari dan ditinggalkan dalam keadaan baik lengkap berpakaian serta dibalut dengan selimut.

"Saya rasa saya ditinggalkan, bukan dibuang oleh ibu bapa kandung saya. Jika saya dibuang, pastinya saya dijumpai dengan keadaan yang tidak terurus. 



"Pastinya ibu bapa kandung saya sudah menantikan kelahiran saya ke dunia dan saya yakin mereka ada sebab tersendiri mengapa mereka meninggalkan saya.

"Saya tidak mahu berburuk sangka dan ingin mencari mereka. Semenjak tular, saya ada menerima beberapa kritikan negatif.

"Saya tidak marah, saya cuma membalas komen negatif itu dengan menjelaskan situasi sebenar. Alhamdulillah, mereka yang pada awalnya mengkritik faham dengan keadaan saya," kata Putera ketika dihubungi oleh Astro Gempak.

Meneruskan pencarian ibu bapa kandungnya, Putera yang kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Diploma Pembantu Perubatan juga mendapat sokongan ibu bapa angkatnya, Zainuddin Ahmad dan Saodah Mahmood.

"Pada mulanya, ibu bapa angkat saya seakan tidak bersetuju. Tetapi lama kelamaan, mereka menyokong usaha saya untuk sama-sama mencari kebenaran.

"Mereka tetap saya anggap sebagai ibu bapa yang membesarkan saya. Saya sangat terharu kerana mereka memberikan semangat serta dorongan untuk saya mencari ibu bapa kandung," katanya lagi.

Jika sesiapa mempunyai informasi mengenai pencarian ibu bapa kandung Putera, hubungi Putera di talian 012-3440420.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Koleksi Putera Zainuddin

Artikel Berkaitan