Penyanyi Indah Ruhaila akui tidak terkejut dengan penyingkirannya di Konsert AF Megastar peringkat suku akhir malam semalam.

Indah berkata dia menerima keputusan itu sebagai adat pertandingan.

"Sebenarnya saya tidak terkejut dengan penyingkiran ini kerana saya terimanya sebagai adat pertandingan.

"Tipulah jika saya tidak ada rasa kecewa tetapi saya menerimanya dengan hati yang terbuka dan tidak terlalu sedih.

"Saya anggap sahaja malam ini bukan malam saya untuk saya teruskan lagi di dalam AF Megastar.

"Saya harap rezeki saya lebih terbuka luas selepas ini di luar," katanya kepada Astro Gempak.

Indah yang mendapat markah terendah iaitu 22.6 peratus malam semalam membawa beberapa rangkaian lagu daripada ikon pilihannya Puan Sri Saloma.

Mengulas mengenai perancangannya selepas ini, Indah memberitahu dia bakal muncul dengan single terbaharu.

"Saya bakal muncul dengan sebuah single terbaharu ciptaan Hael Husaini tidak lama lagi.

"Tajuk lagunya belum ada dan masih dalam proses untuk menyiapkannya di peringkat akhir sebelum saya masuk ke studio rakaman," katanya lagi.

Tujuh bintang yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir adalah Bob, Idayu, Marsha, Shahir, Amir Jahari, Syamel, dan Amir.

AF Megastar bersiaran secara langsung di Astro Ria (104) dan Ria HD (123), setiap hari Ahad, jam 9 malam.

Untuk menonton video persembahan bintang-bintang AF Megastar, layari www.gempak.com/af-megastar/video

AF Megastar juga boleh ditonton secara langsung di laman www.afmegastar.com.my

Nak imbau kembali konsert akhir Akademi Fantasia dari musim pertama hingga AF2013, boleh didapati di Astro On Demand, untuk maklumat lanjut sila ke www.watchod.com


Teks oleh: Syafiqah Jalal