Pelakon utama filem pecah panggung Ola Bola, Luqman Hafidz akan melakonkan sendiri wataknya sebagai Ahmad Ali dalam Ola Bola The Musical yang akan dipentaskan awal tahun depan.

Selain Luqman, Lim Jian Wen yang sebelum ini mendukung peranan Ong Tiam Cai turut terbabit dalam produksi ini.

Turut terpilih sebagai barisan pelakon utama Ola Bola The Musical ialah Brian Chan yang akan menghidupkan watak Chow Kwok Keong aka Tauke serta Abimanyu Masilamani sebagai Muthu Kumar dan Chris Chalmers (yang dikenali sebagai Kai Chalmers) sebagai Eric Yong.

Pelakon-pelakon itu dipilih daripada 40 pelakon yang melalui sesi saringan daripada 300 calon ujibakat pada Ogos lalu.



Menariknya, anda boleh saksikan persembahan sulung mereka secara langsung pada Konsert AF Megastar pada 8 Oktober ini (Ahad) menerusi single Luar Biasa.

Single itu juga akan diperdengarkan secara eksklusif di Era FF sebelum disiarkan di semua saluran radio nasional pada 10 Oktober.

Ola Bola The Musical diterbitkan oleh Puan Sri Tiara Jacquelina dan akan dipentaskan di Istana Budaya mulai 8 Februari 2018.

Teks oleh: Amri Hassan