Kumpulan Exist bakal mengubat kerinduan peminat mereka di Singapura dengan mengadakan konsert THROWBACK EXISTS pada 2 Disember ini.

Kali terakhir Exist mengadakan konsert di Kota Singa ialah pada 10 tahun lalu dan kali ini memilih The Pavilion, Far East Square, Singapura sebagai lokasi.

Konsert THROWBACK EXISTS bakal menyaksikan gabungan semula Ezad (vokalis), Ujang (drum), Musa (bass) dan Along (gitar).

Frankoland Management berkata, konsert tersebut diadakan kerana peminat sudah mula bertanyakan tentang kumpulan popular 90an itu.

“Ramai para peminat di Singapura yang bertanyakan tentang konsert atau persembahan Exists. Permintaan terhadap kemunculan mereka memang tinggi.

“Maka kami ingin menunaikan pemintaan para peminat yang memang rindu untuk menyaksikan kemunculan semula mereka. Itu sebabnya juga kami namakan konsert ini dengan nama Throwback Exists.

“Selaku penganjur, kami mahu memenuhi permintaan peminat di Singapura. Konsert ini juga membuktikan bahawa kumpulan Exists masih wujud dan sentiasa bersedia bertemu para peminat,” kata Franko mewakili Frankoland Management.

Konsert dibawakan CMX International dan Frankoland Management ini akan menyaksikan lagu-lagu hits dan berhantu Exists seperti Mengintai Dari Tirai Kamar, Alasanmu, Jesnita dan Masih Terserlah Ayumu bergema di The Pavilion.

Konsert yang berdurasi selama satu jam ini juga pasti akan mengembalikan nostalgia dan momen tersendiri kepada peminat.

“Kami akan memulakan sesi latihan pada bulan November ini kerana waktu ini setiap anggota kumpulan masih sibuk dengan jadual masing-masing.

“Ezad juga masih dalam proses terapi. Tetapi Along sudah memulakan proses pra produksi,” ujar Ujang mewakili kumpulan Exists.

Tambah Ujang, Exists masih mengekalkan susunan muzik yang sama tetapi memberikan sedikit suntikan segar terhadap lagu-lagu mereka.

Dalam pada itu Ujang berkata, konsert ini juga adalah sebagai reunion kumpulan Exists.

“Sebenarnya memang ada hasrat untuk kembali dengan reunion penuh kumpulan Exist. Mungkin Konsert Throwback Exists ini merupakan sebuah pembukaan kepada hasrat kami ini. Adalah menjadi harapan kami untuk memulakan sesuatu bersama Exists pada tahun hadapan,” katanya mewakili ahli kumpulan lain.

Penampilan artis baru iaitu Khai Bahar juga bakal memeriahkan lagi konsert ini.

Tiket-tiket berharga SGD 55 dan SGD 65 telah mula dijual bermula 29 September lalu.

Sehingga kini tiket untuk sesi ‘Meet & Greet’ sudah habis dijual.

Sebarang infomasi mengenai tiket konsert, boleh hubungi Sham di talian +6593250161 atau Franko +60127677325. Tiket-tiket konsert sudah dijual Frozilicious @ Block 201E, T Bob’sCorner,Golden Ladie,Karva @ East Village, Karva @ 73ABusorah Street dan Karva @Jcube.

Teks Oleh: Hafiza Kamarudin