Pelakon Elfira Loy dan penyanyi Sufian Suhaimi akan melangsungkan perkahwinan pada bulan Mac tahun depan.

Pasangan itu telah selamat melangsungkan pertunangan hari ini di kediaman Elfira, di Cheras, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, tarikh dan lokasi rasmi majlis pernikahan pasangan itu masih belum diputuskan.

"Alhamdulillah majlis hari ini berjalan lancar dan saya telah selamat menjadi tunangan kepada Sufian.

"Kata orang dugaan sepanjang tempoh bertunang hingga berkahwin memang besar tetapi kepercayaan itu kunci utama

"Kami putuskan untuk mengadakan tiga majlis sahaja iaitu bernikah dan dua majlis resepsi," kata Elfira ketika ditemui selepas majlis pertunangannya siang tadi.

Majlis yang diadakan secara tertutup itu dihadiri kira-kira 100 tetamu termasuk kedua ahli keluarga dan rakan selebriti antaranya Bella Dally, Sari Yanti, Sherry Al Hadad dan Sharifah Sakinah.

Sufian menyerahkan lima dulang hantaran termasuk cincin tanda dan berbalas tujuh oleh pihak perempuan.

Pasangan ini memilih busana yang direka oleh pereka fesyen terkenal Rizman Ruzaini

Pada Jun lalu, Sufian, 26, menghantar rombongan merisik Elfira, 24, selepas empat bulan berkawan rapat.

Teks oleh: Amri Hassan